218 Pelajar Sabah Terima Biasiswa Dan Bantuan Pendidikan Daripada Petronas

KOTA KINABALU, 10 Julai (Bernama) — Petronas mengulangi komitmennya untuk menyokong kecemerlangan akademik dan pembangunan kemahiran teknikal dalam kalangan belia di negeri Sabah.

Justeru, sejumlah 218 pelajar hari ini menerima biasiswa dan bantuan pendidikan pada Majlis Anugerah Pendidikan Petronas 2015 yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Pairin mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Daripada jumlah penerima tersebut, 22 pelajar dianugerahkan biasiswa di bawah Program Penajaan Pelajaran Petronas (PESP).

Selain itu, Petronas menerusi Program BUDI-Petronas memperluaskan kerjasama dengan MARA dengan menyediakan elaun pendidikan tahunan kepada 150 pelajar daripada keluarga miskin yang menuntut di Maktab Rendah Sains MARA Sabah.

Sejumlah 46 pelajar daripada enam institut teknikal di Sabah turut menerima biasiswa latihan vokasional di bawah program Penajaan Institut Vokasional dan Bantuan Latihan (VISTA).

Pada majlis itu, NaiB Presiden Kanan Perniagaan Huluan Petronas di Malaysia, Datuk Mohd Anuar Taib berkata Petronas berharap untuk terus memupuk bakat yang sesuai dengan memberikan belia Sabah peluang untuk merealisasikan potensi akademik masing-masing.

“Sejak beberapa tahun, penajaan dan bantuan pendidikan Petronas telah memanfaatkan syarikat itu dan akhirnya negara dengan meningkatkan bilangan tenaga mahir dalam pelbagai bidang dalam memenuhi permintaan pasaran dan industri..

“Memandangkan kerjasama yang sekian lama kami dan komitmen dari kerajaan negeri dalam meningkatkan pendidikan dan pembangunan modal insan di sini, kami percaya bahawa golongan belia Sabah akan menyahut cabaran ini dan terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Musa, dalam ucapannya yang disampaikan oleh Pairin, berkata kerajaan negeri menghargai usaha yang diambil oleh Petronas untuk memupuk golongan belia menjadi pemimpin masa depan.

“Saya berharap penerima biasiswa dan bantuan elaun kewangan akan melakukan sumbangan bermakna dan mampu mengisi kekurangan tenaga mahir profesional demi untuk kemajuan negara,” katanya.

Sejak bermula program pendidikan ini pada 1974 sehingga kini, Petronas membelanjakan RM2.9 bilion untuk menaja sejumlah 35,000 pelajar di seluruh negara.

Sumber : Bernama

Foto : malaysiagazette

Foto : malaysiagazette

97total visits,2visits today

,

Leave a Reply

Your email address will not be published.