Kementerian Sokong Penerokaan ilmu

SEPANG 26 Julai – Sebanyak empat pelajar sekolah menengah dan dua guru akan menyertai Ekspedisi Pendidikan Ke Benua Artik anjuran Student On Ice Foundation selama dua minggu bermula esok sehingga 10 Ogos ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin berkata, penghantaran kumpulan perintis itu dilakukan oleh Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Kementerian Pendidikan.

“Pihak kementerian percaya pembangunan modal insan lestari dalam bidang sains, teknologi dan inovasi adalah satu komponen penting dalam usaha kerajaan mengejar status negara berpendapatan tinggi.

Tonton MARAtv

“Kita sentiasa menggalakkan usaha sebegini dalam memastikan kelangsungan pakar-pakar saintis dan penyelidik yang dapat menyumbang kepada penerokaan ilmu, penjanaan ekonomi dan kelestarian alam,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelepasan Pelajar Ekspedisi Pendidikan Ke Benua Artik, di sini hari ini.

Empat pelajar tersebut adalah Ahmad Amirul Farhan Zulkifli, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu, Nurul Izzaidah Zulkifli, 16, (SMK Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu), Ashraf Hakimi Nurulfaizin, 16, (Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kubu Bharu) dan Raslan Abdul Rahman, 16, (MRSM Alor Gajah).
Dua guru pengiring adalah Roszita Mat Zin, 37, dari SMK Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu dan Rakesh Sala, 38, dari MRSM Gemencheh.

Keempat-empat pelajar itu dipilih melalui saringan di beberapa peringkat termasuklah melalui Kem Sains Polar yang diadakan di Kuala Lumpur dan Terengganu pada 15 hingga 16 Mac lalu.

Mereka akan bersama lebih 100 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dari seluruh dunia dan staf sokongan yang terdiri daripada saintis, guru dan krew untuk mengambil bahagian dalam ekspedisi berkenaan.
Sementara itu, seorang pelajar, Ashraf Hakimi ketika ditemui menyifatkan peluang menyertai ekspedisi tersebut sebagai satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan dan berjanji akan menggunakannya untuk menimba ilmu ketika berada di Benua Artik.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana memberi peluang kepada kami empat pelajar untuk berada di sana selama dua minggu,” ujarnya.

Sumber : Utusan Online

631total visits,3visits today

,

Leave a Reply

Your email address will not be published.