Usaha proaktif Mara tingkat kepercayaan rakyat

PUTRAJAYA 30 Julai – Tindakan Majlis Amanah Rak­yat (MARA) yang mewujudkan unit integriti dan me­nempatkan pegawai kanan Suruhanjaya Pen­ce­gahan Rasuah Malaysia (SPRM) me­rupakan satu usaha proaktif bagi meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap agensi tersebut.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ale­xander Nanta Linggi berkata, usaha itu dapat meningkatkan kesedaran integriti, sekali gus memperkukuhkan sikap amanah dan jujur dalam kalangan warga kerja Mara.

Katanya, integriti merupakan satu isu besar kerana tanpanya sebuah negara boleh runtuh seperti mana kejatuhan Melaka di tangan Portugis apabila pegawai kerajaan berpaling tadah demi mengaut kepentingan peribadi.

“Penghakisan nilai integriti boleh menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan kepada organisasi, malah kecemerlangan yang dibina selama ini akan luntur dan runtuh.

“Oleh itu, saya minta semua pihak termasuk warga Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) untuk mempertahankan keutuhan integriti sedia ada supaya nama baik agensi kekal dan tidak tercalar,” katanya ketika berucap dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPTM, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad dan Pengerusi KTPM, Datuk Mohd. Azis Jamman.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan anugerah kepada 135 warga kerja KPTM bagi mengiktiraf mereka yang telah menunjukkan kecemerlangan dan prestasi terbaik sepanjang tahun perkhidmatan 2014.

Sementara itu, Alexander memberitahu, KPTM telah berjaya melahirkan sebanyak 60,000 graduan yang terdiri dalam kalangan anak-anak Melayu dan bumiputera.

Katanya, KPTM kini semakin dikenali masyarakat setelah kejayaan demi kejayaan dan pengiktirafan diberikan oleh badan antarabangsa terhadap usaha murni institusi pengajian tinggi (IPT) itu dalam mendidik anak bangsa.

Beliau menambah, ukuran kejayaan itu telah meletakkan KPTM perlu melakukan perubahan secara dinamik kerana fenomena globalisasi telah menukar corak permintaan dan kerelevanan IPT.

“Antara tuntutan cabaran itu ialah perkembangan kurikulum mengikut keperluan pasaran dan penyelidikan, pembangunan serta pengkomersialan dalam sistem inovasi kebangsaan.

“Oleh demikian, Institusi Pendidikan Mara (IPMa) termasuk KPTM perlu mengharungi cabaran tersebut dan sekiranya leka, kita akan tertinggal jauh berbanding IPT-IPT lain,” katanya.

Sumber : Utusan Online

541total visits,1visits today

Leave a Reply

Your email address will not be published.