184 Pelajar MARA Terima Sijil MADPP

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) — Sejumlah 184 pelajar MARA malam ini menerima sijil Program Persediaan Ijazah Amerika Mara (MADPP).

Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad menyampaikan sijil kepada para pelajar kumpulan ketiga itu.

MADPP merupakan program bagi persediaan pelajar MARA dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA untuk melanjut pendidikan peringkat kolej di Amerika Syarikat menjelang Januari tahun depan.

Dalam ucapannya, Ibrahim berkata dengan asas yang kuat dalam mata pelajaran matematik dan sains, para pelajar berkenaan mampu besaing dengan pelajar global lain.

“Kita percaya dengan hubungan industri yang kuat bersama universiti terkemuka di Amerika Syarikat, akan membolehkan pelajar kita menjadi profesional dan usahawanan berpendapatan tinggi yang seterusnya menyumbang ke arah negara maju perpendapatan tinggi.

“Kita juga berharap para pelajar dapat menimba pengalaman pembelajaran yang pelbagai kerana kita percaya universiti di sana menawarkan kemudahan dan sumber yang paling canggih,” katanya.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik bagi ujian TOEFL kepada Aydina Azureen Azuddin, 18, sementara Syamil Aqmal Normas Yakin, 18, sebagai Pelajar Terbaik Ujian SAT.

Turut diadakan ialah acara menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara MARA dengan Institute of International Education (IIE) yang buat permulaan akan menyaksikan 25 pelajar lulusan MADPP ditempatkan di 50 universiti terkemuka Amerika Syarikat.

Sumber : Bernama

907total visits,1visits today

,

Leave a Reply

Your email address will not be published.