I ONE Mara platform usahawan bumiputera teroka peluang

MELAKA 7 Ogos – Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri bakal meng­anjurkan program keusahawanan I ONE (Pelaburan, Peluang, Jaringan dan Keusahawanan) Mara sebagai platform pendedahan kepada golongan usahawan bumiputera mengenai faedah serta peluang yang boleh diterokai dalam bidang berkenaan.

Pengarahnya, Fazli Rizal Ismail berkata, program yang baru diperkenalkan melalui inisiatif Mara negeri itu dijangka bakal dilaksanakan selama dua hari pada Oktober depan.

Menurutnya, penganjuran program yang memberi penekanan terhadap bidang keusahawanan itu dijangka akan menarik minat kira-kira 400 peserta terdiri daripada usahawan sedia ada dan usahawan baharu dalam pelbagai sektor.

“Melalui inisiatif ini, orang ramai terutamanya golongan usahawan berpeluang melihat dengan lebih dekat segala kemudahan dan peluang disediakan Mara bagi membantu mereka memajukan perniagaan selain membolehkan pertukaran pendapat serta idea sesama mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Jamuan Aidilfitri anjuran Mara negeri di Plaza Usahawan Mara, Jalan Hang Tuah di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi ne­geri, Datuk Md. Yunos Husin dan Timbalan Pengarah Mara negeri, Nor Irwan Marmin.

Fazli Rizal berkata, program I ONE Mara itu juga bakal melibatkan beberapa pihak serta agensi luar yang berkaitan dengan bidang keusahawanan termasuk badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan belia serta usahawan kecil dan sederhana (PKS).

“Kita juga akan menerapkan elemen pelaburan saham dalam program ini di mana Permodalan Nasional Berhad (PNB) turut dijemput untuk memberi penerangan serta ilmu bermanfaat kepada para peserta terlibat,” katanya.

Beliau berkata, program keusahawanan tersebut mempunyai impak positif dalam mewujudkan jaringan lebih luas serta perkongsian pintar di kalangan usahawan baharu dan lama.

“Pada program ini juga, kita akan menjemput para usahawan yang telah berjaya untuk berkongsi serta memberi pendapatan me­ngenai bidang keusahawanan seterusnya dapat membangkitkan lagi semangat dalam kalangan usahawan baharu,” katanya.

Sementara itu Fazli Rizal memberitahu, pihak Mara negeri mahu lebih ramai usahawan terlibat dalam sektor pembuatan dan pengilangan yang masih terlalu rendah bilangannya di negeri ini.

“Kebanyakan usahawan ne­geri ini hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan seperti peruncitan dengan pulangan tidak seberapa. Justeru saya menyeru mereka lebih berani mencuba dan menceburi bidang baharu yang lebih menguntungkan berdasarkan permintaan tinggi pasaran,” katanya.

Sumber : Utusan Online

798total visits,1visits today

Leave a Reply

Your email address will not be published.