MoU UMW, Rolls-Royce

PUTRAJAYA 12 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini me­nyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kumpulan UMW dengan Rolls-Royce bagi mengeluarkan perumah kipas (casing fan) untuk siri enjin Trent.

Perjanjian itu ditandatangani antara Eksekutif Pembangunan Rantaian Bekalan dan Komponen Kompresor Rolls-Royce, Mark Prockter dengan Pengarah Eksekutif Bahagian Pengeluaran dan Kejuruteraan UMW, Megat Shahrul Azmir Nordin di Bangunan Perdana Putra di sini.

Perdana Menteri berkata, projek bernilai RM830 juta itu merupakan antara strategi syarikat pengeluar utama kenderaan dan enjin pesawat itu dalam mewujudkan rantaian bekalan bertaraf dunia dan kompetitif untuk rantau ini.

Pada masa sama, beliau berkata, projek tersebut akan turut memberi manfaat kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) selepas UMW berminat untuk bekerjasama dengan mewujudkan sebuah pusat latihan.

“Saya berharap pusat itu dapat menyediakan latihan teknikal dan pemindahan teknologi, pada masa sama menyediakan peluang pekerjaan serta perniagaan kepada rak­yat tempatan.

“Kerajaan Malaysia sangat mengalu-alukan langkah ini dan menyokong penuh inisiatif tersebut, saya berharap kemudahan ini dapat beroperasi sepenuhnya pada tahun 2017,” katanya ketika berucap di sini hari ini.

Yang hadir sama Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Victoria Treadell; Pengerusi Kumpulan UMW Holding Bhd., Tan Sri Asmat Kamaludin dan Ketua Pegawai Operasi Rolls-Royce, Mike Mosley.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berbangga apabila UMW dipilih sebagai pembekal peringkat pertama Rolls-Royce di Malaysia.

Najib yakin pemilihan itu berdasarkan keyakinan pihak penge­luar kenderaan dan enjin pesawat itu terhadap kekuatan dan kestabilan ekonomi serta kemahiran sumber tenaga kerja rakyat negara ini.

Sementara itu, Asmat berkata, penyertaan UMW dalam industri penerbangan merupakan langkah penting kepada syarikat konglomerat itu menjadi syarikat pertama di negara ini yang berjaya mendapat status sebagai pembekal peringkat pertama kepada Rolls-Royce.

Katanya, projek tersebut juga bakal mengubah peranan syarikat tersebut daripada pengeluar tenaga kerja intensif kepada pembuatan bernilai tinggi.

“Perjanjian ini merupakan satu perubahan baharu kepada syarikat ini yang mana kerjasama bersama Rolls-Royce akan diadakan secara kontrak selama 25 tahun bagi mengeluarkan perumah kipas kepada enjin pesawat Trent 1000.

“Projek ini juga selaras dengan hasrat syarikat untuk mempelbagaikan bidang perniagaan terdahulu seperti automotif, peralatan serta minyak dan gas era baharu,” katanya.

Sumber : Utusan Online

278total visits,4visits today

Leave a Reply

Your email address will not be published.