Pemilihan syarikat laksana MyBAS secara tender terbuka – SPAD

KANGAR: Pemilihan syarikat untuk menyediakan perkhidmatan bas henti-henti atau MyBAS dibuat melalui tender terbuka dan bukan bertujuan menyelamatkan syarikat terbabit, kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar. Beliau berkata, antara kriteria yang diambil kira untuk dipilih ialah rekod dan kemampuan syarikat terlibat memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.

“Projek ini dilaksanakan bukan kerana hendak menghidupkan syarikat yang dipilih tetapi ia adalah perkhidmatan pengangkutan awam kerajaan untuk rakyat. “Umumnya, tiada siapa (syarikat) mahu menyediakan perkhidmatan tidak menguntungkan dan tidak berdaya maju. Jadi kerajaanlah terpaksa menyediakannya,” kata beliau pada majlis pelancaran MyBAS negeri Perlis oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man di Dataran Datuk Sheikh Ahmad di sini, hari ini.

Syed Hamid berkata, MARA Liner Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dipilih menyediakan MyBAS, juga perlu memastikan kecekapan dan kualiti perkhidmatannya bertambah baik. Katanya, perkhidmatan MyBAS bermula 6 pagi hingga 9 malam dan kekerapan bas berlepas setiap 30 minit manakala tambang yang dikenakan adalah murah. Terdahulu, Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad, dalam ucapannya berkata projek MyBAS Perlis adalah bernilai RM88 juta untuk tempoh lapan tahun bermula 1 Ogos lepas.

Beliau berkata, MARA Liner menyediakan 24 bas canggih dan 60 pemandu yang memberi perkhidmatan di lima laluan utama dan 10 laluan ‘feeder’ (pengantara) membabitkan perjalanan melebihi 2.6 juta kilometer setahun. “Projek MyBAS yang berupa program khidmat masyarakat adalah perkhidmatan pengangkutan awam bersistematik kepada penduduk Perlis bagi meningkatkan akses penduduk luar bandar ke bandar,” katanya.

Sumber : Berita Harian

439total visits,3visits today

Leave a Reply

Your email address will not be published.