Rebut Peluang Sertai Program Kemahiran

TAWAU: Golongan belia di daerah ini disaran merebut setiap peluang dengan menyertai pelbagai program kemahiran khususnya bidang keusahawanan ke arah meningkatkan pendapatan.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Hamisa Samat berkata, bidang keusahawanan merupakan salah satu cabang penting dalam usaha kerajaan memperkukuh ekonomi negara selain menjamin masa hadapan masyarakat.

Katanya, generasi muda perlu merebut setiap peluang bagi membantu mereka menjadi usahawan berjaya, bukannya membiarkan peluang keemasan itu terlepas begitu sahaja.

Menurutnya, banyak pihak tampil menghulurkan bantuan termasuk agensi kerajaan dan pihak swasta dalam memperkasakan usahawan terutama dalam kalangan Bumiputera.

“Bidang keusahawanan mempunyai peluang yang cerah untuk diceburi, malah mampu menjana pendapatan lumayan kepada individu yang melakukannya dengan bersungguh-sungguh,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan Kursus Fesyen dan Membuat Pakaian bagi sesi 1/2015 anjuran GIATMARA Kalabakan, di sini kelmarin yang turut mengadakan majlis sambutan Hari Raya.

Menurut Hamisa yang juga ADUN Tanjung Batu berkata, mereka yang ingin menceburi bidang keusahawanan perlu menyiapkan diri dengan pelbagai kemahiran serta pengetahuan bagi mencapai sasaran yang diinginkan.

“Salah satu bidang kerjaya yang memerlukan kreativiti seseorang individu itu adalah bidang seni reka fesyen.

Dunia fesyen sentiasa berubah mengikut perkembangan masa.

Pada hari ini, kita boleh melihat pelbagai jenis fesyen di pasaran.

“Bidang ini sebenarnya bukanlah dimonopoli oleh kaum wanita, sebaliknya lelaki turut mengambil bahagian dan mewujudkan beberapa nama besar pada hari ini.

Ramai pereka fesyen lelaki yang terkenal dan berjaya dalam dunia fesyen masa kini sama ada di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.

Hamisa berkata, bidang itu juga dianggap antara kerjaya yang glamor.

Ia mampu memberi pendapatan lumayan serta tidak mengecewakan.

Pihak media terutamanya memberikan peluang meluas kepada para pereka fesyen baharu untuk menonjolkan bakat di majalah serta saluran televisyen.

GIATMARA Kalabakan telah ditubuhkan pada Julai 2012 dan telah melahirkan 94 pelatih tempatan dari Tawau.

Seramai 20 pelatih telah diraikan dan 21 pelatih yang baharu masuk bagi sesi Julai 2015 untuk Kursus Fesyen dan Membuat Pakaian selama 6 bulan.

Turut hadir, Pengurus GIATMARA Jupri Gamad serta tenaga pengajar Jara Chunbung dan Norlindawati Dahlan.

Sumber : The Borneo Post

184total visits,1visits today

Leave a Reply

Your email address will not be published.