Segera tubuh pusat ICT usahawan Melayu

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan berha­rap kerajaan dapat mempercepatkan cadangan me­wujudkan sebuah pusat penjualan barangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) teruta­ma telefon pintar khas untuk usahawan Melayu di premis milik Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Ketuanya, Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, cadangan itu perlu dilaksanakan segera kerana usahawan Melayu sudah kesuntukan masa untuk bersaing dengan peniaga kaum lain yang semakin meluaskan perniagaan mereka da­lam bidang tersebut.

Kata beliau, kewujudan pusat jualan itu bukan sahaja dapat membantu usahawan Melayu berniaga dalam suasana yang sihat tetapi turut mampu memperkasakan keupayaan mereka untuk merebut peluang bersaing dengan peniaga lain.

“Melihat kepada perkembangan isu semasa yang melanda negara baru-baru ini, inilah titik awal untuk orang Melayu bangkit daripada kekecewaan terutama sikap segelintir peniaga di Plaza Low Yat, Bukit Bintang yang enggan bertolak ansur ketika urus niaga.

“Keadaan yang serupa turut berlaku di Kompleks Pertama yang tidak memihak kepada orang Melayu kerana kebanyakan premis perniagaan alat telekomunikasi di bangunan milik UDA itu sudah lama didominasi oleh kaum lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Mara untuk menjadikan kawasan di tingkat tiga Kompleks Menara Mara sebagai sebuah pusat penjualan barangan ICT terutama telefon pintar khas untuk usahawan Melayu.

Sementara itu, Mohd. Razlan menggesa Kementerian Perdagangan Antara­bangsa dan Industri dan Mara memberi galakan kepada usahawan Melayu untuk menjadi pembekal alat telekomunikasi yang diambil daripada pengeluar secara terus.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kewujudan pusat perniagaan itu akan menyemarakkan lagi industri tersebut khasnya untuk anak muda Melayu yang ingin menceburkan diri di dalam perniagaan berunsurkan ‘gajet’.

“Kita berharap cadangan tersebut tidak akan dipolitikkan oleh pihak tertentu yang mempunyai prasangka perkauman kerana ia adalah untuk membangunkan ekonomi anak muda Melayu. Bagaimanapun kita berharap Mara bukan sahaja menyediakan ruang niaga tetapi program pembangunan jangka pendek dan panjang bagi memastikan lebih banyak anak muda berjaya dalam bidang tersebut,” katanya.

Sember : Utusan Online

363total visits,3visits today

Leave a Reply

Your email address will not be published.