KKMM Terus Didik Pengguna Media Sosial Fahami Dasar Kerajaan

MACHANG, 22 Okt (Bernama) — Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan terus mendidik pengguna media sosial khususnya Generasi Y supaya mereka lebih mudah memahami dan menerima dasar serta hala tuju kerajaan dalam mencapai misi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata beberapa program telah diwujudkan untuk mendidik golongan itu seperti ‘Klik Dengan Bijak’ yang kini semakin mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan remaja.

“Pihak jabatan akan melaksanakan usaha secara berterusan mengajak masyarakat khususnya generasi muda agar mereka bersama untuk memikul tanggungjawab itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Apa Kata Gen Y di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Machang di sini Khamis.

Lebih 500 pelajar daripada beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menyertai majlis itu yang dihoskan oleh Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad Datuk Mohd Zaini Hassan dan tokoh akademik Prof Madya Datuk Agus Yusoff.

IPT terlibat ialah UiTM Kampus Machang dan Kampus Kota Baharu; Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Pangkalan Chepa, Kampus Bachok dan Kampus Jeli; dan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kota Baharu dan Gua Musang.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata kerajaan perlu mempertingkat keupayaan untuk menguruskan perbezaan pendapat dengan bijaksana terutama yang diutarakan daripada perspektif pelbagai golongan masyarakat.

“(Ada) golongan berkenaan sering berpendapat mereka sahaja yang betul tanpa menghiraukan pendapat orang lain yang mempunyai pandangan berbeza,” katanya.

Sementara itu, Agus berkata tahap kepintaran generasi sekarang berbeza dengan generasi terdahulu kerana longgokan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber.

“Mereka mempunyai pelbagai jenis alat komunikasi yang boleh menerima sebarang maklumat dengan lebih pantas dan mudah,” katanya.

Sumber : Bernama

93total visits,1visits today

Leave a Reply

Your email address will not be published.