MRSM komited tingkatkan prestasi pelajar

MUKAH: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sensitif dan komited dalam usahanya untuk menambah baik kualiti dan produktiviti serta meningkatkan prestasi pelajar. Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Pejabat Sarawak Haji Megat Zakaria Megat Ahmad berkata, ini termasuk dalam pembangunan potensi, kepimpinan dan kreativiti kerana setiap pelajar adalah individu yang unik dan mempunyai potensi untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

“Ini adalah selari dengan falsafah pendidikan MRSM yang mengutamakan kualiti dan sebagai pusat kecemerlangan dalam menyediakan pendidikan kepada pelajar.

“Justeru, pelajar perlu bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran selari dengan pembangunan sains dan teknologi,” katanya ketika merasmikan majlis Graduasi MRSM Mukah Kelima di Dewan Setia Raja kolej itu di sini.

Menyentuh SPM, beliau berkata peingkat itu adalah langkah untuk pelajar menentukan masa depan mereka, sama ada untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara atau luar negara. Katanya, apa jua pengalaman dan pelajaran yang diperolehi dari MRSM, diharap pelajar akan memanfaatkannya untuk membantu dalam pembangunan bangsa dan negara.

Mengenai MRSM Mukah, Megat Zakaria berkata dengan usaha gigih kakitangan, ibu bapa dan komuniti, diharap kolej itu mampu berdiri sama tinggi dengan yang lain di negara ini. Pengetua Haji Maznan Maamor dalam ucapan aluannya berkata, MRSM Mukah menduduki tangga ke-12 daripada sejumlah 46 MRSM di Malaysia, dan berada di tempat teratas di Borneo.

Beliau juga menyenaraikan individu berjaya yang pernah menuntut di MRSM iaitu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukriz Tun Mahathir, beberapa menteri dan tokoh korporat berjaya termasuk angkasawan pertama negara Dr Syed Muzaafar. Maznan berharap personaliti yang berjaya itu akan menjadi sumber inspirasi kepada pelajar untuk berusaha gigih dalam menghadapi SPM akan datang.

Turut hadir Pengerusi Badan Muafakat MRSM Mukah Haji Ja’afar Haji Zaini, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Akademik Haji Mohd Nor C.Lah, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Alias Ramli, Timbalan Pengarah Kokurikulum Affandi anak Rumpa, ketua jabatan kerajaan dan wakil dari MRSM yang lain.

Sumber : Utusan Sarawak

524total visits,1visits today

Leave a Reply

Your email address will not be published.