Rezeki Sempena Awal Muharam

KUALA PILAH – Kedatangan awal Muharam kali ini memberi sinar kebahagiaan buat tujuh sekeluarga apabila menerima sebuah rumah idaman di Kampung Air Petai, Batu 46, di sini, kelmarin.

Menurut Mutazarudin Din, 45, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan kerana telah memilih keluarganya untuk menerima bantuan berkenaan.

“Sebelum ini kami tinggal di sebuah rumah terbiar milik bapa saudara sejak 2008 lagi. Saya terpaksa pinjam duit saudara mara sebanyak RM4,000 untuk baik pulih rumah ini yang hanya seluas 5 meter x 6 meter serta tak ada bilik tidur.

“Pendapatan saya yang mengambil upah potong rumput dan baik pulih rumah jiran hanya cukup makan dan mustahil untuk kami ada rumah sendiri,” katanya selepas Majlis Serah Kunci yang disempurnakan oleh Adun Pilah, Datuk Norhayati Omar.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Amer Yusuf, Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Norazam Khamis, Timbalan Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Johari Ahmad serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Air Petai, Mazan Mydin.

Tambah Mutazarudin, rumah dibina di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan Ke-7 (NBOS7) itu memberi keselesaan kepada keluarganya terutamanya anak-anak untuk mengulang kaji pelajaran.

Dalam pada itu, menurut Amer, rumah berkenaan dibina menggunakan peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan siap dalam tempoh 30 hari.

“Program ini telah kita mulakan sejak 2013 lagi dan kos sebuah rumah dianggarkan berharga RM40,000 sebuah di Semenanjung, manakala RM50,000 di Sabah dan Sarawak dan untuk sepanjang tahun ini, kita telah membina sebanyak 30 buah rumah di seluruh negara dengan kos keseluruhan berjumlah RM1.27 juta.

“Di Negeri Sembilan, rumah ini adalah rumah keenam yang telah dibina di bawah program NBOS7 dan sasaran kita adalah kepada mangsa kebakaran yang miskin tetapi memandangkan tiada kategori tersebut, kita telah menyasarkan kepada keluarga miskin dan mereka memerlukan,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

211total visits,1visits today

Leave a Reply

Your email address will not be published.