Tawar Trak Makanan Untuk Berniaga Kepada Usahawan

SHAH ALAM 20 Okt. – Koperasi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Selangor menawarkan trak makanan untuk orang ramai yang berminat menceburi bidang perniagaan sama ada secara sambilan atau sepenuh masa.

Pengerusinya, Mohammad Abdullah berkata, terdapat dua jenis trak makanan ditawarkan iaitu yang berdapur bagi menjalankan perniagaan berbentuk makanan atau minuman dan satu lagi ialah untuk pasar malam yang sesuai untuk jualan pakaian, aksesori dan sebagainya.

Menurutnya, trak makanan amat sesuai untuk mereka yang mahu berjinak-jinak dalam bidang perniagaan kerana tidak memerlukan kos begitu besar seperti penyewaan premis.

“Sesiapa sahaja boleh mencuba perniagaan sebegini termasuk graduan yang masih tercari-cari kerja, penganggur atau kakitangan awam sendiri yang mahu berniaga secara sambilan bagi menambah pendapatan keluarga.
“Ia juga tidak memerlukan ruang yang luas untuk beroperasi, cukup sekadar petak letak kenderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyaksikan demonstrasi trak makanan di Medan Selera Prima 2, Seksyen 2 di sini.

Mohammad menambah, harga trak makanan yang ditawarkan bagi jenis berdapur ialah RM54,000 manakala pasar malam RM47,000 sebuah.

Katanya, meskipun terbuka kepada semua pembeli, adalah lebih baik mereka yang mahu mendapatkannya menyertai koperasi terbabit berikutan banyak kelebihan dan kemudahan ditawarkan kepada ahli.

“Sebagai ahli koperasi, kami menyediakan banyak kemudahan termasuk pinjaman kewangan dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Bank Kerjasama Rakyat Berhad (Bank Rakyat),” ujarnya.
Sementara itu, Naib Yang Dipertua PPPKM Selangor, Hanim Mohd. Said menjelaskan, banyak kawasan terutama di dalam bandar cukup strategik untuk menempatkan trak makanan seperti di hospital, pusat beli-belah dan kilang.
Jelasnya, konsep perniagaan sedemikian adalah lebih sesuai daripada aspek kebersihan memandangkan tidak memerlukan tapak tetap dan bersifat sementara.

“Konsep sebegini mampu membendung masalah gerai haram yang mencemar imej khususnya di bandar raya ini,” katanya.
Mereka yang berminat untuk membeli trak makanan daripada Koperasi PPPKM Selangor boleh menghubungi Mohammad di talian 016-2360750 atau Hanim 016-3802559.

Sumber : Utusan Online

640total visits,3visits today

,

Leave a Reply

Your email address will not be published.