KKLW Sentiasa Beri Keutamaan Terhadap Bidang Keusahawanan

Tawau – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sentiasa memberi keutamaan terhadap bidang keusahawanan dengan menyediakan pelbagai program dan bantuan pinjaman kepada usahawan di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam usaha membantu usahawan khususnya di luar bandar, pihaknya menyediakan pelbagai bantuan termasuk pinjaman Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED).

“Dengan adanya pinjaman ini pengusaha bumiputera luar bandar dapat memulakan perniagaan, sekali gus dapat meningkatkan bidang ekonomi luar bandar.

“Ia juga dapat meningkatkan perusahaan yang diceburi pengusaha bumiputera luar bandar supaya lebih berdaya maju, berdaya tahan dan mempunyai komitmen yang tinggi,” katanya ketika merasmikan Program Membara Anjuran Biro Ekonomi dan Keusahawanan UMNO Bahagian Tawau.

Beliau berkata dana yang disediakan oleh kerajaan melalui KKLW mencukupi untuk para usahawan memulakan sebarang perniagaan.

“Oleh itu kami berharap para usahawan mengambil peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan memanfaatkan peluang yang disediakan KKLW,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata KKLW juga membantu usahawan desa untuk memasarkan produk mereka sehingga ke luar negara.

“Ia merupakan program yang kami sediakan untuk mengantarabangsakan produk yang dihasilkan usahawan desa,” katanya.

Sumber : Berita Rtm

243total visits,1visits today

Leave a Reply

Your email address will not be published.