MARA Bantu Usahawan Ke Peringkat Global

KOTA BHARU 4 Nov. – Majlis Amanah Rakyat (Mara) bersedia membantu usahawan dalam aspek bantuan modal menerusi pinjaman serta khidmat nasihat bagi memperluaskan perniagaan mereka ke peringkat global.

Pengarah Mara negeri, Ismail Abdullah berkata, selain itu, pihaknya akan turut membantu usahawan yang berpotensi untuk mengadakan penyelidikan dan kajian dalam bidang yang diceburi mereka.

Beliau berkata, sehingga kini, perkhidmatan yang disedikan oleh pihak Mara itu mendapat sambutan yang amat mengalakkan daripada usahawan di negeri ini.

“Kita membantu dengan menyediakan pinjaman sehingga ke tahap yang maksiumum bagi memastikan mereka dapat mengembangkan perniagaan ke peringkat global.

“Ramai usahawan berjaya dalam perniagaan yang dilakukan di premis tempatan dan tidak kurang yang mencapai taraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan pembukaan Kafe IFC (Ikhwan Fried Chicken) di Kompleks Perniagaan GISB Holdings Sdn. Bhd., di Jalan Pengkalan Chepa di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah GISB Holdings Sdn. Bhd., Mason Ahmad.

Sementara itu, Ismail berkata, pembukaan restoran itu membuktikan kegigihan pemiliknya untuk bersaing dengan restoran makanan segera dari luar negara terutama yang menjual ayam goreng dan telah lama berada di pasaran.

“Ini merupakan usaha dan ke­gigihan pemilik IFC untuk ber­saing dengan jenama besar yang ada di pasaran namun kita melihat industri makanan ini mem­punyai potensi di pasaran hari ini.

“Perniagaan makanan pada hari ini menjadi tumpuan ramai dan dapat memberikan sumber pendapatan lumayan,” katanya.

Katanya, Mara bersedia untuk membantu pemilik restoran tersebut untuk membuat penyelidikan dan meluaskan pasaran ke luar negara.

“Pembukaan kafe dan restoran yang memberi peluang kepada orang ramai menikmati makanan bersih dan suci, terdapat ruang untuk mengembangkan lagi perniagaan tersebut,” katanya.

Sumber artikel : Utusan Online

895total visits,3visits today

,

Leave a Reply

Your email address will not be published.