Mara Kutip Lebih RM50 Juta

KUALA TERENGGANU – Majlis Amanah Rakyat (Mara) Terengganu berjaya mengutip lebih RM50 juta hasil pembayaran kembali pinjaman oleh usahawan di bawahnya dalam tempoh Januari hingga awal November.

Pengarahnya, Salemi Yusof berkata, kutipan tersebut dijangka mampu melepasi sasaran RM60 juta pada tahun ini.

Menurutnya, pembayaran semula itu juga membuktikan usahawan di Terengganu berjaya menjalankan perniagaan masing-masing dengan baik.

“Pinjaman bagi tahun lepas lebih kurang RM72 juta kepada seramai 757 usahawan. Manakala bagi tahun ini, kita sudah mengeluarkan lebih RM56.5 (RM57 juta) pinjaman kepada seramai 547 usahawan.

“Dan kita juga telah berjaya mengutip lebih RM50 juta hasil pembayaran kembali pinjaman oleh usahawan dalam tempoh Januari hingga awal November. Saya rasa ia boleh mencecah sehingga RM60 juta sehingga akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Malam Himpunan Usahawan Mara Terengganu 2015 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, (TTI) Kuala Terengganu, di sini.

Beliau juga menyifatkan usahawan di Terengganu yang kini berjumlah lebih 10,000 orang di bawah Mara antara peminjam paling konsisten pembayarannya di negara ini, seperti mana kesungguhan yang ditunjukkan usahawan di negeri jiran, Kelantan yang sememangnya sinonim dalam bidang perniagaan.

“Pembiayaan balik pinjaman ini dengan bagus (konsisten) memberi peluang kepada Mara untuk menggunakan dana tersebut bagi memberi pinjaman kepada peminjam yang lain pula,” katanya.

Sementara itu, Mara turut mengeluarkan peruntukan sebanyak RM4 juta tahun ini bagi mengadakan pelbagai aktiviti bersama agensi kerajaan lain seperti mengadakan kursus dan ekspo bagi memberi pendedahan kepada usahawan agar menjadi usahawan yang berjaya.

Malah, Mara juga membantu kontraktor-kontraktor dari kelas A1, A2 dan sebagainya melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekpress (SPiKE), di mana Mara boleh membayar sehingga 75 peratus daripada nilai atau harga kontrak kerja.

Selain, Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPiM) dan Skim Jaminan Usahawan (SJUM), kemudahan penyewaan premis perniagaan, kemudahan pembiayaan pelajaran, pendidikan menengah dan tinggi serta kemudahan urusan latihan keusahawanan.

Sumber : Sinar Harian

83total visits,1visits today

,

Leave a Reply

Your email address will not be published.