TPPA: Malaysia Destinasi Pelaburan Lebih Menarik

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dapat menjadikan negara sebagai destinasi pelaburan dan perdagangan yang lebih menarik, selain syarikat-syarikat tempatan mempunyai peluang lebih besar untuk menerokai pasaran negara ahli TPPA.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia mungkin ketinggalan berbanding negara serantau seperti Vietnam dan Singapura dari aspek pencapaian ekonomi jika tidak menyertai TPPA.
Ujarnya, pihak kementerian turut menyedari bahawa terdapat kebaikan dan keburukan dengan penyertaan negara dalam perjanjian perkongsian tersebut.

Beliau menegaskan, sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka kerajaan berpendapat bahawa faedah penyertaan dalam TPPA lebih banyak daripada keburukan.

“Saya menghargai pandangan-pandangan yang diberikan melalui beberapa saluran mengenai TPPA, antaranya adalah penjajahan alaf baharu, kesan kepada model pembangunan Malaysia, dominasi Amerika Syarikat dan kesan terhadap hubungan ekonomi antara Malaysia dan China.

“Penyertaan dalam TPPA tidak bermakna kita akan menerima sistem ekonomi kapitalis secara total. Sebaliknya, Malaysia akan terus menjayakan model pembangunannya sendiri yang memberi tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi yang inklusif. Dasar kita ialah untuk mengagihkan kekayaan negara seadil mungkin kepada golongan berpendapatan rendah dan kawasan-kawasan kurang maju.

“Penyertaan dalam TPPA juga tidak bermakna bahawa institusi-institusi bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Unit Pemandu Agenda Bumiputera (Teraju) akan terpinggir,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, Malaysia membuat keputusan untuk menyertai rundingan TPPA setelah mengambil kira manfaat khususnya dari aspek ekonomi yang ditawarkan oleh TPPA iaitu saiz pasaran lebih luas melibatkan 800 juta penduduk dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) keseluruhan bernilai AS$28 trilion (RM122.4 trilion).
Ujarnya, produk Malaysia tempatan juga akan mendapat akses pasaran lebih baik di empat negara yang belum menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Malaysia iaitu Amerika Syarikat (AS), Kanada, Mexico dan Peru.

Sumber : Utusan Online

10total visits,1visits today

Leave a Reply

Your email address will not be published.