Dulu Sewa Kedai Kini Buka Akademi

Ramlah Abd Hamid, 45, mula terbabit dalam bidang kecantikan secara separuh masa sejak 2009 dan ketika itu, dia masih bekerja sebagai pembantu peribadi di syarikat swasta.
Selama 20 tahun makan gaji, dia mengambil keputusan berhenti kerja disebabkan perlu mengikut suami berpindah ke Putrajaya.

Biarpun jarak perjalanan dari Gombak ke Putrajaya tidak begitu jauh, jika sudah setiap hari perlu berulang-alik, pastinya badan terasa letih dan menimbulkan tekanan.

Begitu yang dirasai ibu kepada empat anak ini. Kerja dan menguruskan rumah tangga dalam satu masa bukan mudah jika tidak diselangi dengan kesabaran dan keikhlasan.

Akhirnya, dia nekad berhenti kerja kerana memikirkan masa yang ada untuk bersama suami dan anak sangat terbatas. Pada masa sama, dia juga pernah mengalami ­kemalangan sebanyak dua kali sepanjang berulang-alik dari rumah ke tempat kerja disebabkan keletihan.

kedai2.jpg.transformed

“Kejadian berkenaan membuatkan saya nekad berhenti kerja. Namun, perkara biasa bagi individu yang sudah biasa bekerja, pasti rasa bosan duduk saja di rumah tanpa melakukan perkara yang boleh menjana pendapatan.
“Bosan bertukar minat dan akhirnya saya membuka spa, DZahra Beauty & Spa di Presint 9, Putrajaya. Ketika itu, saya hanya mampu sewa separuh kedai dan berkongsi dengan peniaga lain.

“Di spa hanya ada dua meja gunting rambut dan sebuah katil untuk melakukan rawatan pelanggan. Malah, semua rawatan yang disediakan juga diuruskan sendiri tanpa juruterapi.

“Saya tiada masalah uruskan sendiri spa kerana sebelum ini pernah menawarkan perkhidmatan urutan dan mekap secara bergerak dari rumah ke rumah secara separuh masa ketika bekerja dulu,” katanya.
Namun, selepas menerima kunjungan pelanggan yang semakin ramai dan tidak menang tangan untuk menguruskan setiap rawatan, dia mula mengambil juruterapi.

Selepas bertahan dan bersabar, akhirnya dia mampu membayar empat juruterapi dan menyewa ruang yang lebih besar serta selesa untuk pelanggannya.

Pada awal pembukaan spa, dia juga tidak berhenti belajar dengan mengikuti kelas secara profesional seperti urutan, terapi spa dan mekap.

Biarpun sudah memiliki spa sendiri, Ramlah tidak mahu berdiam diri, sebaliknya terus berkongsi ilmu dengan individu yang mempunyai minat sama dalam bidang kecantikan.

Pada 2011, dia menjadi tenaga pengajar di GiatMara dalam bidang spa, urutan dan kecantikan. Pengalaman, ilmu yang luas serta bergerak aktif dalam bidang spa dan kecantikan melayakkan dirinya dilantik sebagai Pakar Industri Negara dan Pegawai Penilaian Luaran oleh Jabatan Pemba­ngunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia pada 2013.

Ternyata, usaha tanpa henti selama ini membuahkan hasil dan kejayaan yang tidak diduga dalam bidang yang diminati sejak dulu.

Biarpun bidang yang dipelajari ketika menyambung pengajian di Universiti Malaya dulu jauh berbeza, dia tidak kisah asalkan minat yang terbit sejak menceburi dunia kecantikan tidak terkubur begitu saja.
Pada tahun ini, Ramlah membuka akademi sendiri, Dzahra Beauty Academy dan cawangan spa keduanya di Pusat Perniagaan Atmosphere, Seri Kembangan, Selangor.

Akademinya menerima pelajar tajaan JPK, Kementerian Kawasan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Belia dan Sukan serta Yayasan Raja Muda Selangor untuk tahap satu, dua dan tiga dalam bidang kecantikan, rambut, spa terapi dan urut terapi.

Pada masa sama, dia juga menerima pelajar persendirian yang mahu menambah ilmu dalam bidang kecantikan.
Malah, Ramlah turut bergabung usaha dengan NMR Beauty & Wellness Centre untuk Program Pembangunan Latihan Kemahiran dan Kerjaya bagi individu yang mahu memantapkan kerjaya di bidang berkaitan.

“Jatuh bangun dalam perniagaan perkara biasa dan saya lihat bidang ini terutama urutan dan kecantikan mempunyai ­potensi yang sangat baik untuk menjana pendapatan.
“Namun, kita perlu bijak membuat perancangan dan tidak terburu-buru atau tamak menawarkan pelbagai perkhidmatan dalam satu masa.

“Sebaliknya, cuba secara perlahan-lahan dan fokus kepada satu bidang dulu sebelum menambah atau menukar ke bidang lain bagi memastikan diri mahir dalam perkhidmatan yang disediakan,” katanya.
Bidang urutan terutama rawatan selepas bersalin misalnya, tidak ramai generasi muda yang berminat untuk mendalami bidang berkenaan kerana dianggap tidak glamor.

Namun, ia mempunyai masa depan yang baik kerana boleh membantu menjana pendapatan jika dilakukan dengan konsisten dan fokus.

Sumber : Metro Harian

727total visits,4visits today

Leave a Reply

Your email address will not be published.