Ekonomi Malaysia menunjukkan pemulihan

Kuala Lumpur, 24 Mac – Ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.0 dan 4.5 peratus pada tahun ini disokong peningkatan permintaan domestik khususnya daripada sektor swasta.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, semua sektor ekonomi dijangka mencatatkan peningkatan pada tahun ini, namun ia tidak membabitkan sektor pertanian.

“Sektor pembuatan dan perkhidmatan akan terus menjadi penyumbang utama kepada perkembangan ekonomi negara,” katanya pada sidang media ketika pembentangan Laporan Tahunan 2015 dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2015 di sini, semalam.

KUALA LUMPUR 14 MARCH 2016. Bank Negara Malaysia Governor, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (L) and Bank of Thailand Governor, Veerathai Santiprabhob during joint press conference on Strengthening Regional Financial Collaboration at Sasana Kijang, Jalan Dato' Onn Kuala Lumpur. NSTP/GHAZALI KORI

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz  dan Gabenor Bank Thailand, Veerathai Santiprabhob ketika bersama dalam sidang media “Strengthening Regional Financial Collaboration” di Sasana Kijang, Jalan Dato’ Onn Kuala Lumpur. Foto – hmetro

Ia adalah pembentangan laporan tahunan terakhir yang dibuat Zeti sebelum menamatkan perkhidmatannya sebagai gabenor pada bulan depan. Tahun lalu, Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 5.0 peratus juga disokong peningkatan permintaan domestik.

Menurutnya, landskap ekonomi dan kewangan antarabangsa yang mencabar dijangka menjadi faktor utama mempengaruhi prospek ekonomi Malaysia tahun ini.

“Perkembangan pada peringkat global boleh menimbulkan risiko pertumbuhan ekonomi negara sama ada menjadikannya lebih tinggi atau perlahan,” katanya.

Menurutnya, inflasi keseluruhan diunjurkan meningkat antara 2.5 peratus dan 3.5 peratus pada tahun ini disebabkan kenaikan harga bagi beberapa barangan dan kadar pertukaran ringgit yang lemah.

“Kesan daripada faktor kos ini terhadap inflasi akan diimbangi harga tenaga dan komoditi global yang rendah, inflasi global yang lemah serta permintaan dalam negeri yang sederhana.

“Bagaimanapun, trajektori inflasi pada tahun ini boleh menjadi tidak menentu kerana ia bergantung kepada ketidakpastian harga minyak dan komoditi global,” katanya.

Sementara itu, Zeti berkata, kedudukan kewangan BNM yang diaudit kekal kukuh pada tahun lalu dengan aset bank RM440.6 bilion dengan keuntungan bersih RM7.8 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

BNM mengumumkan dividen sebanyak RM3 bilion kepada kerajaan bagi tahun 2015. – hmetro

59total visits,1visits today