Pesawat EgyptAir hilang sah terhempas di Mediterranean

Syamsul Nazri Mohd Kasim

boymaratv@gmail.com


 

Pesawat EgyptAir yang hilang sebelum ini disahkan terhempas di Laut Mediterranean, menurut pegawai kerajaan di Kementerian Penerbangan Awam.

Kapal terbang dari Paris ke Kaherah itu membawa hampir 70 orang penumpang dan anak kapal. Ia hilang daripada radar pada 2.30 pagi waktu tempatan dan hilang 45 minit sebelum mendarat.

Usaha sedang dijalankan untuk mencari serpihannya. Greece kini telah menghantar dua pesawat dan kapal laut untuk usaha pencarian.

EgyptAir menafikan kemalangan itu disebabkan kegagalan teknikal, lapor dpa.

Setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan berada dalam penerbangan itu.

Ia dikatakan membawa 30 warga Mesir, 15 Perancis, dua Iraq dan masing-masing seorang dari Britain, Belgium, Kuwait, Arab Saudi, Sudan, Chad, Portugal, Algeria dan Kanada.

Ini insiden kedua melanda EgyptAir dalam tempoh terdekat. Pada 29 Mac lalu, pesawat syarikat sama dari Iskandariah ke Kaherah telah dirampas lelaki bersenjata.

Insiden itu turut mendapat perhatian rakyat Malaysia memandangkan pesawat Malaysia Airlines juga hilang sebelum ini. – Malaysiakini

Disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 6:01 PM

146total visits,1visits today