MARA Digital Bukan Sekadar Premis Perniagaan

Sekali pandang, perasmian MARA Digital tidak ubah seperti perasmian cawangan premis perniagaan biasa.

Ini kerana apabila sesebuah konsep perniagaan berjaya ia akan dikembangkan macam sistem francais di setiap negeri atau beberapa cawangan di bandar-bandar besar.

Bagaimanapun, perasmian MARA Digital di Anggerik Mall Shah Alam baru-baru ini menjadi premis kedua selepas MARA Digital di Bangunan MARA Kuala Lumpur sebenarnya kejayaan manis disebalik perjuangan memartabatkan usahawa bumiputera.

Jika disingkap sejarah MARA Digital, kita tidak dapat tidak mengaitkannya dengan insiden buruk di Plaza Low Yat satu masa dahulu.

Memang ia ada kaitan dengan isu rasis tetapi dapat ditangani dengan baik oleh pihak berkuasa tetapi iktibar lebih besar di mana ia menjadi pemangkin kepada penubuhan MARA Digital – sebuah premis gajet, telefon pintar dan teknologi maklumat (IT) yang menawarkan pilihan kepada pembeli.

Malah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang ada disebalik MARA Digital dilihat mencapai solusi terbaik.

Selain ia memberi pilihan kepada pengguna, ia juga berjaya menjadikan rangkaian peniaga dan pengedar bumiputera menguasai perniagaan yang mendapat permintaan tinggi terutama dalam kalangan orang muda.

Malah kesanggupan MARA memberi subsidi enam bulan pertama kepada peniaga bumiputera di premis MARA Digital meringankan beban kepada peniaga yang baru hendak mula bertatih.

Sokongan industri melalui jawatankuasa khas MARA yang turut dianggotai wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi memastikan setiap produk asli dijual juga satu langkah terbaik mengelak produk tiruan dijual.

Bak kata Menteri KKLW, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kejayaan MARA Digital telah melenyapkan pandangan skeptikal sesetengah pihak ia sekadar slogan atau bakal menjadi projek gajah putih.

“Ada yang cakap MARA Digital ini akan bertahan tidak sampai tiga bula sejak ia ditubuhkan di Bangunan MARA Disember lalu namun berkat kerja keras dan komitmen kerajaan, MARA Digital semakin berkembang.

“Selain di Shah Alam, cawangan baharu akan dibuka di Petaling Jaya dan Terengganu pun sudah panggil kita buka di sana selain Melaka,” jelasnya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.

Malah, katanya sebahagian besar daripada syarikat gergasi IT, telefon dan gajet pintar selain syarikat-syarikat telco sudah bersetuju membantu MARA Digital dengan menempatkan kaunter masing-masing di setiap premis MARA Digital.

Jadi, pelanggan bukan sahaja boleh membeli produk, membaikinya malah boleh berurusan dengan syarikat telco, kata Ismail Sabri lagi.

Menurut Ismail Sabri, kejayaan MARA Digital di ibu kota yang mencatatkan jualan kira-kia RM10 juta memberangsangkan.

MARA Digital bukan program sebesar usaha memajukan bumiputera seperti Dasar Ekonomi Baru dan sebagainya tetapi sekadar perniagaan berfokus yang memecahkan dominasi satu kaum sahaja tetapi kejayaannya sudah ada di depan mata.

Ia bukan sahaja menyelesaikan masalah rasa tidak harmoni tetapi juga memberi ‘ubat’ kepada luka yang sebelum ini menjadi parut tidak sembuh kepada sesetengah peniaga bumiputera yang tidak dibiarkan tanpa mendapat bantuan sewajarnya.

Apa pun, ia bukti kejayaan mustahil pun boleh dicapai sekiranya mendapat izin Allah, ada komitmen ahli politik seperti Ismail Sabri, komitmen kementerian dan sokongan rakyat.

135total visits,1visits today