Terkini!! Kes pelajar tahfiz : Kementerian Serah Kepada Pihak Polis

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan menyerahkan sepenuhnya kepada  polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes kematian pelajar tahfiz yang didakwa dipukul pembantu warden asrama sekolahnya.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, walaupun sekolah terbabit tidak berdaftar di bawah kementerian namun ia tetap dilihat satu isu berkaitan institusi pendidikan di negara ini.

“Kita ucap takziah kepada keluarga murid yang terlibat, walaupun saya difahamkan sekolah tersebut tidak berdaftar namun ia masih merupakan satu institusi pendidikan yang mempunyai pelajar dan guru.

“Sudah tentu perkara ini di luar jangkaan kita, kerana ia melibatkan kesalahan yang berat kita serah pada  polis,” katanya ketika ditemui Bernama selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn, di sini, semalam.

Mohamad Thaqif Amin, 11, meninggal dunia pada 2.05 petang tadi  di Hospital Sultan Ismail, Johor  Bahru.

Pelajar tahfiz itu dijadual menjalani pembedahan untuk memotong tangan kanannya dari bahagian jari hingga bawah siku pagi tadi, namun ditangguhkan berikutan keadaan jantungnya tidak stabil.

Kedua belah kakinya sebelum ini telah dipotong bagi mengelak jangkitan kuman merebak pada bahagian lain tubuhnya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis mengklasifikasikan semula kes kematian  pelajar tahfiz  yang dilapor dipukul pembantu warden asrama sekolahnya  sebagai kes bunuh.

Katanya, kematian Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama

147total visits,1visits today