Edu Biz Park MARA, Tarik Anak Muda Tinggal di Luar Bandar

PUTRAJAYA 30 Mei : Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bercadang membangunkan projek Edu Biz Park MARA di setiap negeri bagi merancakkan ekonomi setempat, selain mengurangkan penghijrahan belia ke bandar. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata projek berkenaan sebahagian program transformasi luar bandar dengan membangunkan pinggir bandar secara bersepadu yang dilengkapi komponen pusat perniagaan, pendidikan dan industri, selain perumahan. Katanya, projek berkenaan memerlukan tanah berkeluasan minimum 20.2 hektar dan keluasan itu akan menentukan jumlah pekerjaan yang dapat ditawarkan kepada penduduk.

“Projek ini sudah dimulakan di Bera, Pahang di atas tanah seluas 1,000 ekar (404.7 hektar) yang menempatkan kem tentera, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), selain projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), yang akan dilengkapi kedai dan ruang niaga,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Menteri Bersama Exco Luar Bandar Bil 1/2017 di sini, hari ini. Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerja pengukuran tanah rizab Orang Asli di seluruh negara akan siap sepenuhnya menjelang September ini. Katanya, daripada 134,513 hektar tanah berkenaan, 33, 692 hektar sudah diwartakan, 70,781 hektar dibawa ke Pihak Berkuasa Negeri dan 20,663 hektar diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

sumber : Berita Harian

113total visits,2visits today