MARA Perkenal Program Pendidikan Fleksibel Mulai 2018

PUTRAJAYA — Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memperkenalkan program pendidikan fleksibel di semua institusi pendidikan di bawahnya bermula tahun hadapan bagi meningkatkan akses pendidikan dalam kalangan masyarakat Bumiputera.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata program pendidikan fleksibel itu akan dilaksanakan melalui kerjasama antara institusi pendidikan MARA, institusi pendidikan tinggi tempatan dan luar negara.

“Dengan membawa Konsep 3C 2U bermaksud pelajar akan mengikuti pengajian peringkat asasi selama setahun di kolej MARA dan dua tahun pertama pengajian ijazah dilaksanakan di Kolej Kemahiran Tinggi MARA atau Kolej Profesional MARA.

“Seterusnya dua tahun tempoh pengajian lagi akan dilaksanakan sama ada di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti MARA, Kolej Universiti Poly-Tech MARA, universiti tempatan atau universiti luar negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pendidikan MARA 2017 di sini, hari ini.

Beliau turut mengumumkan seramai 220 pelajar terbaik pada konvokesyen kali ini akan ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara di bawah tajaan MARA melalui program berkembar, mobiliti atau internship ke Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Saya berharap pengumuman ini akan menyuntik semangat pelajar-pelajar lain untuk mencipta kecemerlangan dan seterusnya membuka laluan untuk meneruskan pengajian ke 20 universitit terbaik dunia,” katanya.

Menteri itu berkata MARA secara tahunan telah menaja kira-kira 1,000 pelajar menyambung pengajian mereka ke luar negara yang merupakan sebahagian perbelanjaan daripada lebih RM2 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada MARA bagi bidang pendidikan.

“Ini sekali gus menyangkal dakwaan bahawa MARA tidak mempunyai wang dan mengurangkan peruntukan untuk pendidikan,” katanya.

Ismail Sabri berkata MARA juga bersetuju untuk memberikan geran keusahawanan khas kepada 10 syarikat graduan institusi pendidikan MARA yang menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam bidang perniagaan yang mereka ceburi sebanyak RM20,000 setiap syarikat.

“Syarikat-syarikat ini juga akan diberi keutamaan untuk akses kepada fasiliti dan kemudahan keusahawanan lain yang disediakan MARA seperti pinjaman perniagaan, sewaan premis dan khidmat nasihat,” katanya.

Jelasnya, pada tahun lalu lebih 1,300 syarikat pelajar telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dengan membawa pulang keuntungan sebanyak RM5 juta dan jumlah terkumpul untuk tiga bulan pertama tahun ini adalah lebih RM450,000.

“Ini sekali gus membuktikan bahawa Pelan Pembangunan MARA telah mencapai matlamat melahirkan modal insan berpendapatan tinggi dalam memacu pembangunan negara maju,” katanya.

— BERNAMA

16total visits,1visits today