KJ Bersemuka Menteri Sukan Indonesia Untuk Mohon Maaf Isu Tercetak Bendera Terbalik

Kuala Lumpur – Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin, bersemuka dengan Menteri Belia dan Sukan Indonesia Imam Nahrawi susulan isu tercetak bendera Indonesia secara terbalik di dalam buku panduan Sukan Sea 2017 Kuala Lumpur.

KJ menerusi twitternya berkata: “Baru sahaja berjumpa @imam_nahrawi untuk memohon maaf secara rasmi kepada rakyat Indonesia atas kesilapan percetakan bendera Republic Indonesia. Terima Kasih Bapak.”

Menurut wartawan Channel News Asia, Sumisha Naidu, pihak Indonesia sudah menerima permohonan maaf itu namun menterinya, Imam Nahrawi berkata permohonan maaf itu perlu diserahkan pada Presiden Indonesia, Joko Widodo terlebih dahulu untuk diterima secara rasmi sebagai sebuah negara.

Sebelum ini, isu bendera terbalik itu mendapat pelbagai reaksi dari orang ramai terutamanya warga Indonesia yang menyifatkan kesilapan itu tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi dalam temasya sebesar ini.

Dalam pada itu, Joko Widodo berkata dia menunggu permohonan maaf rasmi dari pihak Malaysia dan turut meminta agar perkara itu tidak diperbesar-besarkan.

“Saya kira kita menunggu permintaan maaf rasmi dari Pemerintah Malaysia, tak usah dibesar-besarkan,” kata Joko Widodo sebagaimana lapor Republika.

192total visits,1visits today