Pelajar Luar Bandar Terus Dibantu

TANGKAK, 6 September – Para pelajar luar bandar terus dibantu untuk meningkatkan prestasi pelajaran mereka melalui Program Speed Reading & Mind Mapping anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sri Lanang, Felda Sri Jaya, Bukit Serampang di sini hari ini.

Dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA Ledang, Dr. Nazrul Hamizi Adnan, program ini memperkenalkan kaedah serta teknik yang boleh diadaptasi dalam suasana ulang kaji mahu pun pada sesi pembelajaran seharian para pelajar sekolah.

Seramai 50 orang pelajar Tingkatan Satu dan Dua terlibat dalam program ini yang mana mereka turut diberi suntikan motivasi agar terus fokus memberi perhatian yang serius dalam bidang pelajaran.

Program ini juga selaras dengan konsep “Membandarkan Luar Bandar” Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam membantu masyarakat luar bandar melalui aktiviti yang memberi impak terhadap perubahan sikap dan minda serta peningkatan ilmu dan kemahiran.

Sementara itu, menurut Pengetua SMK Tun Sri Lanang, Saipul Anuar Mohd Sayuti, beliau amat berterima kasih dan mengalu-alukan usaha pihak MARA melaksanakan program yang mampu mempertingkatkan prestasi pelajar-pelajar luar bandar.

“Adalah diharapkan kerjasama seumpama ini dapat diteruskan bagi memastikan pelajar-pelajar luar bandar tidak terus ketinggalan dalam bidang pendidikan,” katanya.

Program sehari ini turut dihadiri oleh Pegawai Latihan dan Kerjaya Negeri Johor, Nor Anita Zainon dan Pegawai MARA Daerah Tangkak, Shahrulazli Jaafar serta Penolong Pegawai MARA Daerah, Nor Hasmal Hazwani Mohd Kamal.

516total visits,6visits today