UPSR Masih Lagi Relevan

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan kekal meneruskan sistem Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid tahun enam di setiap sekolah seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, UPSR masih relevan dan kementerian masih belum bersedia untuk mengubah sistem UPSR yang sedia ada setakat ini.

“KPM tidak harus tergesa-gesa untuk memansuhkan UPSR kerana perubahan itu memakan masa yang lama dan perlunya perbincangan secara terperinci dengan pelbagai pihak termasuklah murid, ibu bapa, guru-guru dan persatuan-persatuan ibubapa, ahli akademik dan pihak NGO.

“Kami belum bersedia menggantikan suatu dasar atau sistem sedia ada dengan sistem baru yang belum terbukti berkesan secara positif sehingga sesuatu masa yang sesuai,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjuan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya, Kota Kinabalu, sempena hari pertama UPSR, hari ini.

Mahdzir berkata, 443,794 calon UPSR di seluruh negara termasuklah 44,000 calon UPSR di negeri ini membabitkan calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan serta calon sekolah swasta.

“Sebanyak 8,085 pusat peperiksaan dibuka di seluruh negara membabitkan 51,363 petugas peperiksaan bagi memantau murid yang menduduki UPSR,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof , Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Alias Ahmad serta Pengarah Pendidikan Sabah Datuk, Maimunah Suhaibul.

Di Putrajaya, 1,798 calon UPSR mula menduduki peperiksaan bagi subjek Bahasa Melayu kertas Pemahaman dan Penulisan, hari ini.

Tinjauan Harian Metro di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (SKPP8) 1 mendapati 132 calon hadir dan sesi peperiksaan berjalan dengan lancar.

Setiap calon UPSR di negara ini akan menduduki subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains bermula Isnin hingga Khamis ini.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Putrajaya Roaini Jaafar dan ibu bapa calon yang turut hadir untuk memberi sokongan kepada murid.

Calon UPSR turut membaca doa sebagai pembakar semangat sebelum masing-masing mula menjawab soalan peperiksaan.

Malah, ibubapa calon juga turut berkumpul bersama-sama dengan guru membaca Surah Yasin dan solat hajat bagi mendoakan kejayaan anak masing-masing.

Guru Tahun Enam SKPP8(1) Fatimah Zainal Abidin berkata, pihaknya menyediakan roti dan air kepada setiap calon sebelum memasuki dewan peperikasaan bagi memastikan mereka bertenaga untuk menjawab kertas soalan.

“Alhamdulillah, setiap pelajar sudah bersedia untuk menduduki peperiksaan selama empat hari yang bermula hari ini dan kami sebagai guru sentiasa mendoakan terbaik untuk mereka.

“Saya yakin calon UPSR SKPP8(1) mampu menjawab kertas soalan dengan baik sekali gus membantu meningkatkan prestasi sekolah keseluruhannya,” katanyaketika ditemui selepas menghantar calon UPSR SKPP8(1) ke dewan peperiksaan.

Di Kedah 32,481 calon mula menduduki peperiksaan berkenaan di 570 pusat peperiksaan di seluruh negeri itu.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Sofaruddin Ismai berkata, daripada jumlah itu, 31,385 adalah murid dari sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala baki 1,096 calon adalah dari sekolah swasta.

“Jumlah calon tahun ini juga menunjukkan penurunan sebanyak 598 orang berbanding tahun lalu iaitu 33,079 calon.

“Selain itu juga, untuk UPSR tahun ini, 59 Calon Berkeperluan Khas (CBK) mengambil peperiksaan UPSR di mana 13 daripadanya adalah pelajar yang kecacatan pendengaran, 12 pula rabun, seorang buta dan 33 calon lagi adalah calon yang mengalami lain-lain kecacatan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan selepas tinjauan perjalanan hari pertama UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendang, hari ini.

Tambahnya, 10 calon terpaksa menduduki UPSR di enam hospital di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Hospital Jitra, Hospital Baling, Hospital Kuala Nerang, Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan sebuah hospital swasta di Sungai Petani disebabkan mengalami kemalangan atau jatuh sakit.

“Sehubungan itu juga, 2,226 pengawas peperiksaan ditugaskan untuk menjaga perjalanan peperiksaan di seluruh pusat peperiksaan terbabit termasuk di hospital.

“SK Taman Ria, Kulim adalah sekolah yang mempunyai calon UPSR paling ramai tahun ini iaitu 319 murid manakala hanya seorang murid sahaja direkodkan menduduki UPSR di empat pusat peperiksaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheng Yu, Alor Janggus, Alor Setar, SJKC Pei Hwa, Kuala Kedah, SJKC Pei Eng, Yan dan SJK (Tamil) Ladang Kupang, Baling,” katanya.

Di Melaka, 13,098 calon menduduki UPSR, tahun ini.

Kesemua calon berkenaan terdiri daripada murid dari 242 buah sekolah seluruh negeri ini.

Tinjauan Harian Metro di Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin, Taman Tasik Utama, Ayer Keroh mendapati calon hadir ditemani ibu bapa selain ada di antara mereka menangis ketika diminta untuk memasuki dewan peperiksaan.

Malah, ibu bapa yang hadir bersama guru turut mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin sementara menunggu calon menduduki peperiksaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata, daripada jumlah keseluruhan calon seramai 23 orang adalah calon berkeperluan khas antaranya menghidap disleksia dan pekak.

“Selain itu, enam calon UPSR turut menduduki peperiksaan di hospital, masing-masing empat di Melaka dan dua di Kuala Lumpur kerana mengalami masalah kesihatan,” katanya.

Di Negeri Sembilan , 17,128 calon mendaftar menduduki UPSR tahun ini di 349 pusat peperiksaan.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Pkharuddin Ghazali berkata, daripada jumlah itu, 11,965 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK), 3,418 dari sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, 1,493 dari SJK Tamil dan 252 calon swasta.

“Seramai 13 calon adalah kategori Berkeperluan Khas iaitu yang menghadapi masalah pembelajaran, penglihatan, kurang upaya fizikal dan pendengaran.

“Terdapat 11 calon yang menghadapi masalah kesihatan pula terpaksa mengambil peperiksaan di hospital,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tinjauan Harian Metro di SK Seremban 2A (SKS2A) mendapati 152 calon kelihatan bersemangat untuk menduduki kertas pertama peperiksaan Bahasa Melayu (Pemahaman).

Sebelum masuk dewan, mereka diberikan kismis oleh guru sebagai makanan tambahan bagi membolehkan mereka dapat menjawab peperiksaan dengan baik.

Guru Besar, Fuziah Abdul Malek berkata, kismis diberi kepada calon bermula 7.20 pagi.

“Pemberian kismis itu adalah amalan setiap pagi pihak sekolah sejak awal tahun kepada murid tahun enam selepas dapat persetujuaan daripada ibu bapa,” katanya.

Di Selangor, 85,299 calon UPSR mula menduduki peperiksaan itu di 779 pusat peperiksaan.

Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Salleh Mohd Kassim berkata, jumlah itu berkurangan berbanding tahun lalu iaitu 87,229 murid.

“Tahun ini, 213 murid adalah Calon Berkeperluan Khas (CBK) yang mempunyai masalah pembelajaran serta kurang upaya fizikal, pendengaran dan penglihatan.

“Bagi calon yang menjawab peperiksaan di hospital kerana masalah kesihatan pula seramai 24 orang,” katanya ketika ditemui ketika melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, Klang hari ini.

Beliau berkata, daerah Petaling Perdana mencatatkan jumlah calon tertinggi menduduki UPSR iaitu 16,707 murid diikuti Hulu Langat, 15,987 dan Klang dengan 14,990 murid dan Gombak, 12,000 murid.

Katanya, 8,133 petugas peperiksaan termasuk penyelia kawasan, Ketua Pengawas dan Pengawas diarahkan untuk mengawal peperiksaan UPSR itu.

“Kita juga melantik 779 pengemas bilik bagi setiap satu pusat bagi menjaga kebersihan di tempat calon menduduki ujian,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Salleh berkata, 461 calon yang menduduki ujian berkenaan di SK Rantau Panjang.

“Sekolah ini adalah antara yang mempuyai calon yang teramai di Selangor. Sebanyak dua pusat dibuka dengan jumlah 26 kelas bagi murid menduduki peperiksaan,” katanya.

Pagi ini, pelajar yang menduduki UPSR akan menduduki kertas membabitkan mata pelajaran Bahasa Melayu kertas Pemahaman dan Penulisan.

Sumber :Harian Metro

757total visits,1visits today