Pelajar perlu pastikan kecemerlangan

PASIR GUDANG: Pelajar menggalas tugas berat dalam memastikan kecemerlangan tercapai sekaligus mendapat kerjaya yang baik pada masa depan.

Dekan Universiti Kuala Lumpur (UniKL)-Malaysian Institute of Industrial Technology (MITEC), Prof Madya Dr Sairul Izwan Safie, berkata pelajar juga perlu mempertingkatkan keupayaan diri untuk terus bersaing dalam pasaran pekerjaan.

Katanya, bangsa yang gemilang dan terbilang hanya wujud apabila budaya kecemerlangan menjadi amalan.

“Dalam meniti arus dan cabaran sebagai pelajar pada hari ini, pelbagai rintangan dan cabaran perlu dihadapi.

“Kehidupan sebagai pelajar bukan masa untuk berseronok, membuang masa atau berfoya-foya tetapi pada ketika inilah masa yang paling sesuai untuk mengerah seluruh tenaga, mengasah pena, membuka minda dan memberi idea.

“Ini bagi menghasilkan bakal penggerak atau pewaris kepemimpinan yang akan memastikan kelangsungan pembangunan bangsa dan negara pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Bimbingan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 anjuran UniKL dengan kerjasama BH di sini.

Yang hadir sama, Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Gaya Hidup Kampus UniKL-MITEC, Jimisiah Jaafar dan Pengarang Berita BH, Mohd Feroz Abu Bakar.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Rinting 2, Ng Kah Chun, berkata beliau tidak pernah melepaskan peluang mengikuti mana-mana program seminar SPM yang disyorkan oleh sekolah bagi meningkatkan lagi kefahaman serta teknik betul menjawab soalan.

“Saya mahu mendapatkan keputusan cemerlang dalam SPM, bukan saja untuk diri saya tetapi untuk keluarga yang banyak memberikan sokongan kepada saya. Sebab itu, ada saja seminar, saya akan sertai dan seminar anjuran BH ini menumpukan kepada mata pelajaran yang saya agak lemah.

“Guru juga banyak menyumbang tenaga termasuk memaksimumkan penggunaan pembelajaran dalam talian dalam usaha mentransformasikan landskap dalam kelas supaya menjadi lebih interaktif,” katanya.

Bagi pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Johor Bahru, Adibah Aqilah Ahmad Mahdzir, yang berasal dari Kota Tinggi, program seminar itu amat baik kepada calon SPM yang dalam persiapan akhir sebelum menduduki peperiksaan.

“Program ini banyak membantu saya untuk menguasai topik yang lemah, terutama dalam mata pelajaran Fizik. Penceramah juga memberikan penerangan yang jelas sekiranya ada pelajar yang kurang faham dengan sesuatu topik.

“Cara ini membuatkan pelajar lebih selesa dan tidak takut bertanya,” katanya.

970total visits,54visits today