Memperkasa Usahawan Perabot Bumiputera

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi anak syarikatnya Furniture Industry Technology Centre (Fitec) akan membantu membangunkan lebih ramai usahawan bumiputera dalam industri perabot di negara ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, permintaan terhadap perabot Malaysia di pasaran antarabangsa adalah tinggi dan sekiranya usahawan bumiputera mampu bersaing, industri perabot dapat memberikan pula­ngan yang lumayan kepada mereka.

Menurutnya, unjuran eksport perabot negara bagi tahun lalu berjumlah RM9.53 bilion manakala nilai eksport perabot kayu negara dijangka mencecah RM23 bilion pada tahun ini.

“Namun, penglibatan usahawan bumiputera dalam industri perabot adalah terlalu kecil berbanding pasaran yang tinggi iaitu hanya kira-kira 1.1 peratus.

“Oleh itu, MARA menerusi Fitec akan menjalankan pelbagai program dan menjalinkan kerjasama dengan banyak pihak supaya dapat membantu membangunkan lebih ramai usahawan bumiputera yang berdaya saing dalam industri ini,” katanya.

Bagi mewujudkan impak yang lebih besar, MARA turut komi­ted menyatu padukan program keusahawanan dan pendidikan terutama di Institusi-institusi Pen­­di­dikan MARA (IPMa) bagi memupuk minat pelajar menjadikan bidang keusahawanan dalam industri perabot sebagai kerjaya pilihan, katanya.

“Sehingga kini, terdapat 12 kluster pengajian di Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) di seluruh negara termasuk Diploma Teknousahawan Rekabentuk dan Pengeluaran Perabot.

“Bagi memberi peluang, justeru saya menyarankan agar MARA dapat mengutamakan teknousa­hawan perabot dalam kalangan pelajar IPMa ini untuk melaksa­nakan kerja-kerja pemasangan perabot di seluruh IPMa mahupun di pusat-pusat pentadbiran MARA yang lain,” katanya ketika merasmikan Karnival Perabot Fitec (KPF) 2017 di Ibu Pejabat MARA di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jaz­lan Yaakub, Pengerusi MARA, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Karnival yang berlangsung sejak 20 November lalu dan ber­akhir pada 25 November ini disertai seramai 20 pempamer terdiri daripada usahawan-usahawan pera­bot bumiputera.

Karnival yang julung kali diadakan itu bertujuan memberi peluang kepada usahawan-usahawan perabot bumiputera untuk mencari pasaran baharu dengan urus niaga secara langsung de­ngan pengunjung serta membina rantaian perniagaan antara pembekal, pengeluar dan pembeli.

Tambah Ismail Sabri, sejak ditubuhkan pada 1994, Fitec telah berjaya melatih lebih 5,000 pelatih dalam bidang pembuatan perabot.

“Selain itu, sejak 2016 seramai 51 usahawan peruncit dan 29 kontraktor yang bergiat dalam bidang pembinaan kabin dan kontena telah diwujudkan, manakala sebanyak 173 kilang perabot kayu dan besi telah berdaftar di bawah program vendor perabot Fitec.

“Oleh itu, menerusi pelbagai program lain seperti pemba­ngunan peruncitan dan vendor serta kemudahan pembiayaan perniagaan serta geran latihan dari Fitec, kami yakin lebih ramai usahawan mampu dilahirkan, sekali gus merealisasikan hasrat meningkatkan bilangan usahawan bumiputera dalam industri pera­bot,” katanya.

Pada majlis tersebut, Ismail Sabri turut melancarkan portal Furniture Hotspot yang bakal menjadi platform pemasaran melalui internet yang boleh diakses oleh pengeluar, peniaga dan orang awam dalam aktiviti berkaitan perabot.

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/memperkasa-usahawan-perabot-bumiputera-1.559322

385total visits,1visits today