MRSM Utamakan Pelajar Luar Bandar

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) sentiasa mengutamakan pelajar cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan pertengahan (M40) khususnya di luar bandar ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Ketua Pengarahnya, Datuk Azhar Abdul Manaf, berkata ia selaras dengan dasar penubuhan MRSM untuk memberi peluang pelajar Bumiputera di bandar dan luar bandar cemerlang mendapat pendidikan berkualiti.

Katanya, daripada 37,752 pelajar MRSM, pelajar luar bandar berjumlah 23,628 atau 63 peratus manakala bandar adalah 14,124 orang (37 peratus).

“Jumlah pelajar MRSM dalam kalangan keluarga B40 adalah 20,011 orang manakala golongan M40, seramai 12,725 orang, menjadikan jumlah peratusan pelajar kedua-dua kumpulan ini, seramai 86 peratus.

“Justeru, dakwaan MRSM tidak mengutamakan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan luar bandar serta lari matlamat penubuhan asal adalah tidak tepat,” katanya dalam kenyataan media.

Azhar berkata, walaupun kaedah permohonan kemasukan ke MRSM menggunakan sistem dalam talian, MARA sentiasa membantu proses permohonan dan pengambilan pelajar di luar bandar dan kawasan pedalaman.

Katanya, MARA mempunyai program khas yang mengutamakan pelajar daripada golongan terbabit memasuki MRSM seperti mengadakan program jangkauan bersama sekolah luar bandar.

“Kita juga membantu calon membuat permohonan dalam talian dan mengira merit berdasarkan status sosio-ekonomi bagi pelajar B40.

“Ia termasuk bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Pejabat Agama Negeri untuk mengenal pasti calon berkelayakan serta memperuntukkan Skim Budi kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Sumber: Berita Harian

 

351total visits,1visits today