Pelajar Orang Asli Juara Catur Asia Tenggara

PELAJAR Orang Asli mencipta sejarah sebagai pemain catur remaja wanita pertama negara memenangi dua pingat emas Kejohanan Peringkat Umur Catur Asia Tenggara kali ke-18 di Kuantan, hari ini.

Lanida Dahlan, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Muadzam Jaya, Pahang, muncul pemenang kategori ‘standard’ dan ‘rapid’ bawah 14 tahun berkumpulan dalam kejohanan sembilan hari itu.

Ketika ditemui, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia mula berjinak dengan catur sejak berusia lapan tahun sebelum membabitkan diri secara aktif menyertai persatuan catur sekolah.

“Ketika di sekolah kebangsaan saya menyertai persatuan catur dan bermain secara konsisten.

“Ada guru yang mahir permainan ini mengajar kami bermain dengan teknik dan taktikyang betul.

“Apabila ke sekolah menengah, saya nampak potensi dalam diri lalu bermain secara serius dan menyertai beberapa kejohanan,” katanya.

Lanida yang bercita-cita meraih gelaran Grandmaster €™catur pertama negara berharap impian itu dapat direalisasikan nanti dengan meningkatkan mutu permainan bagi melayakkannya menerima pengiktirafan tertinggi Organisasi Catur Dunia (FIDE).

Kejohanan bermula 25 November lalu, menyaksikan dua lagi pemain catur negara Veronica Mahdan, 16, dan Erni Sharira Yusri, 15, merangkul pingat perak dan dua gangsa.

Sumber : Harian Metro

 

65total visits,1visits today