MARA sasar 10,000 Usahawan Sertai Program Bless

ALOR SETAR – Seramai 1,500 usahawan dan bakal usahawan luar bandar menjayakan Program Building Leaders and Entrepreneurial Society (Bless), anjuran Mara peringkat zon utara merangkumi Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program itu sebagai platform interaksi secara langsung antara rakyat dan Mara.

“Usahawan dan bakal usahawan boleh dapatkan bantuan Mara secara terus.

“Dalam masa sama, mereka berpeluang menyalurkan pandangan dan cadangan bagi memperkasakan perniagaan Bumiputera,” katanya selepas sesi Walkabout Bless 2018 di sini, semalam.

Ismail Sabri berkata, Bless adalah inisiatif kerajaan melalui Mara selaku agensi peneraju dalam usaha memperkasakan pembangunan keusahawanan di negara ini.

Menurutnya, selain keusahawanan, pendidikan turut menjadi aspek utama Bless.

“Kita libatkan juga pelajar di bawah institusi pengajian Mara. Ini kerana aspek keusahawanan juga adalah secara tidak langsung satu pendidikan.

“Program ini bantu masyarakat melihat Mara lebih dekat dan memahami apa yang boleh dilaksanakan Mara,” katanya.

Beliau berkata, selepas zon utara, program itu akan diteruskan di zon timur, tengah, selatan, Sabah dan Sarawak.

“KKLW menyasarkan penglibatan 10,000 peserta pada program Bless di enam zon seluruh negara tahun ini, iaitu penyertaan purata 1,500 usahawan di setiap zon,” katanya.

Ismail Sabri berkata, tujuan utama Bless adalah mewujudkan kesedaran keusahawanan melalui seminar dan kursus.

“Selepas menghadiri kursus, peserta boleh ke reruai pameran untuk dapatkan informasi mengenai dana yang disediakan.

“Kalau ikut kebiasaan, jika tamat kursus selalunya peserta akan terus balik. Mereka tidak dapat penerangan untuk mendapatkan pinjaman.

“Menerusi Bless ini juga, usahawan akan diberi bantuan dan khidmat nasihat dari segi pembungkusan, penjenamaan dan promosi produk,” katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai rebut peluang berkenaan kerana Mara memperuntukkan RM455 juta dana melalui 10 hingga 12 skim.

“Setakat ini, (Mara) sudah mempunyai 62,000 peminjam, namun saya amat galakkan lebih ramai usahawan rebut peluang untuk dapatkan pembiayaan di bawah skim ditawarkan Mara.

“Mara turut menyediakan skim khusus bagi pembangunan usahawan wanita iaitu DanaNita RM35 juta dan setakat ini, baru RM5 juta digunakan,” katanya.

6983total visits,1visits today