Peluang Kerja dan Keusahawanan

Barisan usahawan yang menerima bantuan dan sokongan MARA merakamkan kenangan pada majlis jelajah 1MPAK di Kuala Lumpur.

 

Program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) yang dianjurkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) komited meneruskan jelajahnya ke Pantai Dalam, Kuala Lumpur dengan membawakan antara lain peluang pekerjaan kepada belia dan pelbagai program keusahawanan untuk direbut masyarakat tempatan.

Antara program utama adalah Graduate Employability Training Scheme (GETS) iaitu sebuah program perantisan yang memberi persiapan latihan dan kemahiran kepada para graduan untuk dipadankan dengan keperluan industri.

Antara rakan industri MARA yang turut serta di dalam program GETS ialah Strand Aerospace Malaysia Sdn Bhd yang memberi peluang kepada golongan belia tempatan berinteraksi secara langsung bagi tujuan padanan pekerjaan.

Dalam satu kenyataan media, MARA berkata, sejak jelajah 1MPAK bermula di Bera, GETS telah merekodkan lebih 20,000 permohonan daripada orang ramai.

“Melalui 1MPAK, semua program keusahawanan turut di bawa bersama di bawah satu bumbung dengan menawarkan pelbagai khidmat nasihat dan maklumat mengenai inisiatif sedia ada untuk usahawan tempatan.

“Pada siri jelajah kali ini seramai enam usahawan tempatan telah menerima kemudahan pembiayaan perniagaan MARA. Mereka terdiri daripada Bumi Besi Enterprise, ZM Global Tech (M) Sdn Bhd, Zamoda Sdn Bhd, United Marine & Aviation Resources, Belle Babies Design dan M&E Enterprise,” katanya.

1MPAK adalah kesinambungan usaha MARA dalam menerajui agenda pembangunan Bumiputera di luar bandar dengan pendekatan baharu yang lebih dinamik iaitu dengan membawa semua inisiatif MARA yang dihimpunkan di bawah empat fokus utama iaitu pendidikan, peluang pekerjaan, keusahawanan dan tanggungjawab korporat sosial MARA secara terus kepada akar umbi.

Dalam pada itu, wakil Belle Babies Design, Noor Faizuri Faeiz berkata, sejak dua tahun lalu, MARA sentiasa memberikan sokongan dan bantuan kepada syarikatnya sama ada dalam bentuk pembiayaan mahupun tawaran sewaan premis pada kadar berpatutan.

“Pengalaman saya bersama MARA amat menyenangkan dan segala proses yang dilalui juga adalah mudah. Program 1MPAK ini memberi peluang kepada golongan usahawan mendapatkan maklumat secara langsung daripada MARA.

“Saya harap peluang ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh orang ramai kerana terlalu banyak inisiatif yang ada tetapi tidak direbut sepenuhnya. Apabila MARA sendiri yang turun padang, tidak ada lagi alasan untuk kita tidak mendapatkan maklumat dengan sebaiknya,” katanya sambil memberitahu, Belle Babies Design menerima pembiayaan perniagaan oleh MARA di bawah Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) berjumlah RM100,000.

Destinasi siri jelajah 1MPAK seterusnya ialah di Kuala Nerus di Terengganu, Parit, Perak dan Semenyih, Selangor pada 31 Mac 2018.

Pra pendaftaran dan maklumat lain mengenai 1MPAK boleh didapati menerusi www.1MPAK.my.

sumber : sinar harian

5357total visits,9visits today